Petikan Akhbar


KUALA LUMPUR 5 Feb. – Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin tidak memahami sepenuhnya kepentingan dan manfaat kewangan peribadi, melabur dengan bijak dan merancang untuk persaraan, demikian menurut satu kaji selidik CitiBank Bhd.

Kaji selidik itu, Citi Financial Quotient (FIN-Q), mendapati berdasarkan kepada keputusan keseluruhan ditunjukkan dalam 11 bidang topik kewangan utama, keputusan dari Malaysia menunjukkan purata skor Citi FIN-Q ialah 49 mata daripada 100. Selebihnya 59 peratus rakyat Malaysia yang dikaji selidik itu mencatatkan skor 49 mata dan ke bawah.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada bantuan kewangan dari sanak saudara dan anak-anak. Oleh itu, kita perlu membuat perancangan satu portfolio yang pelbagai yang bersesuaian,” kata Naib Presiden Pemasaran dan Ketua Segmen Kumpulan Pelanggan Globalnya, Timothy Johnson kepada pemberita di sini hari ini.

Kaji selidik FIN-Q itu yang terdiri daripada 400 temu ramah dalam talian mempunyai 30 soalan setiap satu di seluruh Malaysia, dilaksanakan untuk menentukan tahap pemahaman di kalangan rakyat Malaysia mengenai kewangan peribadi dan amalan kewangan mereka.

Di dalam bidang kewangan peribadi hanya 28 peratus dari responden mengawal peruntukan bajet mereka, 37 peratus berjimat manakala 46 peratus cuba berjimat dan membuat peruntukan perbelanjaan.

“Di segi tabiat melabur pengurusan wang dan kewangan peribadi, sebanyak 37 peratus mengetahui subjeknya dan 55 peratus mempunyai idea yang baik tentang apa yang akan dilakukan dengan enam bulan pendapatan mereka,” kata Johnson.

Sebaliknya, kira-kira 60 peratus tidak berasa yakin dengan penjimatan untuk persaraan mereka, dengan lebih ramai wanita melahirkan kebimbangan tentangnya.

Hanya 22 peratus dari responden mempunyai rancangan persaraan yang rasmi manakala lebih daripada seperempat tidak ada idea atau tidak memulakan lagi satu rancangan persaraan manakala 45 peratus mempercayai mereka akan menerima bantuan kewangan dari anak-anak mereka.

Sementara sebahagian besar rakyat Malaysia berpandangan mereka mempunyai pengaturan yang positif terhadap kualiti hidup mereka pada masa ini dan kewangan pada masa hadapan, tetapi secara realitinya, ramai yang tidak pasti mengenai keselamatan kewangan mereka.

“Kami melihat satu trend di seluruh dunia terutamanya dalam pasaran yang lebih maju. Masyarakat mula merancang masa depan kewangan mereka. Dan ianya akan menjadi trend di Malaysia,” katanya. – Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Pasaran tempatan masih menarik walaupun wujud aliran harga menurun pada masa ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman hari ini.

Pelabur bagaimanapun mesti menggunakan kebijaksanaan mereka dan bersedia pada setiap masa untuk menghadapi serta melalui kitaran keadaan pasaran, katanya semasa ditanya pandangannya mengenai senario semasa Bursa Malaysia.

Katanya antara sebab PNB dapat menghadapi dengan tabah keadaan pasaran semasa ialah kerana ia sudah membuat persediaan.

Antara persediaan yang dilakukan ialah “mengapa kami menstruktur semula pelaburan dan kerap melakukan penstrukturan semula,” katanya.

“Sebagai contoh, cara kami mewujudkan nilai Kumpulan Sime Darby. Ketika kami melakukannya (penggabungan) Sime Darby, Golden Hope dan Guthrie, jumlah nilai ketiga-tiga syarikat itu hanya RM24 bilion. Namun, semasa melancarkan dan menyenaraikan semula kedudukannya, nilai sudah meningkat kepada lebih RM60 bilion,” katanya,

Hamad Kama Piah bercakap kepada pemberita selepas melancarkan pejabat Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) di Tingkat 7, Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden MFPC Kee Wah Soong, Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia Ng Lian Lu, Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Kewangan Micheal Kok dan Presiden Persatuan Perunding Kewangan Bertauliah, Vincent Tan.

Hamad Kama Piah juga yakin bursa saham tempatan masih pada paras yang kukuh dengan penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) melepasi 1,100 mata.

Beberapa kaunter di Bursa Malaysia masih mengekalkan nilai yang baik dan mempunyai asas yang kukuh, katanya.

“Saya sering berkata bahawa ada peluang dalam pasran kita. Ada beberapa kaunter yang asasnya kukuh, namun nilainya mungkin kurang sedikit.”

Mungkin itulah saham yang wajar dibeli, katanya.

Terdapat juga kaunter yang nilainya tidak menentu, dan dalam kes ini, “kita mesti tunggu dan mungkin bukan masanya untuk membeli”.

Bagi PNB, ia membuat belian dan jualan terpilih bagi menyesuaikannya dengan portfolio serta memastikan ia dapat membuat keuntungan dan dalam masa yang sama mewujudkan kaunter yang mempunyai nilai jangka panjang.

Pada tengah hari, hari ini, KLCI susut 4.88 mata kepada 1,158.21 selepas dibuka 3.74 mata lebih rendah pada 1,159.35.

– BERNAMA

Harga Runcit Petrol Diselaras Berkuatkuasa 1 Sept, Kata Abdullah

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) — Berkuatkuasa 1 Sept ini, harga runcit petrol akan diselaraskan berdasarkan harga pasaran purata bulanan dan subsidi akan dikekalkan pada kadar 30 sen seliter, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Perdana Menteri berkata harga runcit petrol akan ditetapkan pada 1 haribulan setiap bulan.

“Kerajaan juga menjamin bahawa harga runcit petrol tidak akan melebihi RM2.70 seliter pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdullah berkata kerajaan membuat keputusan itu setelah mengkaji secara teliti kebelakangan ini harga minyak mentah yang menunjukkan trend menurun.

Selasa lepas, harganya ialah US$122 setong berbanding harga purata bagi Jun US$132 setong, dan kerajaan menanggung subsidi petrol sebanyak 64 sen seliter.

Harga minyak mentah dunia adalah US$125 setong ketika kerajaan menstrukturkan semula subsidi minyak pada 5 Jun dengan subsidi petrol sebanyak 30 sen seliter.

Menjelang 8 Jun, harga minyak mentah meningkat secara mendadak kepada US$139 setong.

Abdullah berkata walaupun harga petrol sepatutnya dinaikkan sebanyak 40 sen seliter, kerajaan telah membuat ketetapan untuk mengekalkan harga petrol dan memberi jaminan pada 11 Jun bahawa harga petrol tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini.

– BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) — Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd menyasarkan meluluskan pinjaman berjumlah RM1 juta sebulan bagi skim pengubahsuaian rumah Peribadi-i Aslah Belian Plus, kata Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat hari ini.

Skim itu akan dipromosikan oleh bank dengan kerjasama Casa Impian Sdn Bhd, pakar hiasan dalaman dan pengubahsuaian.

Melalui kerjasama ini, Bank Rakyat menyediakan kemudahan pembiayaan manakala Casa Impian pula menyediakan khidmat rundingan untuk reka bentuk dan hiasan dalaman yang merangkumi aspek pengubahsuaian, kata Kamaruzaman pada sidang media di sini hari ini.

Pembiayaan yang disediakan ini layak dipohon oleh kakitangan awam dan swasta.

Jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM150,000, dengan kadar faedah serendah 4.9 peratus dan bayaran balik serendah RM53 sebulan.

Tempoh maksimum yang dipohon ialah sehingga 15 tahun.

Skim pinjaman itu sekarang ini hanya ditawarkan di kawasan Lembah Klang dan akan diperluaskan ke kawasan lain di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — Lebih 60 peratus daripada wanita Malaysia gembira dengan kehidupan mereka dan hampir 74 peratus berkata membeli belah merupakan satu bentuk terapi keselesaan emosinya.

Menurut kaji selidik Synovate Sdn Bhd, 50 peratus daripada wanita itu berkata mereka suka membeli belah dan menganggapnya satu aktiviti yang penuh dengan kegembiraan.

Pengarah Urusan Synovate Steve Murphy berkata wanita Malaysia membelanjakan purata RM180 setiap bulan atau 17 peratus daripada pendapatan bulanan mereka.

“Apa yang menonjol ialah hakikat bahawa wanita Malaysia menyimpan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk tabungan, yang mana tepat masanya memandangkan keadaan ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Selain dari menyenangkan diri mereka, katanya wanita Malaysia juga mencari kualiti apabila membeli barangan dan perkhidmatan dengan 64 peratus bersetuju bahawa mereka akan membayar lebih untuk kualiti.

“Faktor kualiti sekali lagi disahkan apabila kami menanya setiap responden apa yang membuat mereka setia kepada peruncit selain harga lebih rendah, sebahagian besar daripada responden berkata kualiti produk yang lebih baik, sesuatu yang peruncit Malaysia patut ambil ingatan,” katanya.

Murphy berkata wanita juga menerima produk yang mesra alam sekitar dan sanggup membayar lebih untuk barangan seumpamanya.

“Kaji selidik itu mendapati hampir 49 peratus daripada responden berkata mereka sanggup membayar lebih untuk membeli produk yang mesra alam sekitar,” katanya.

Mengenai kebebasan kewangan, katanya kaji selidik itu mendapati bahawa 42 peratus daripada responden Malaysia mampu membeli untuk apa yang mereka mahu tanpa meminta wang daripada teman atau suami mereka.

Menurut Murphy, kaji selidik itu juga membuat perbandingan di seluruh rantau ini dan mendapati 87 peratus daripada wanita Hong Kong paling bebas dari segi kewangan diikuti oleh wanita China dan Singapura.

Synovate mengkaji lebih 1,000 wanita Malaysia dari umur 15 hingga 64 tahun dalam semua peringkat pendapatan mengenai keutamaan barangan dan tabiat berbelanja mereka.

– BERNAMA

 

Laman Berikutnya »