Kewangan


UNTUK laki-laki ada bahagian daripada yang ditinggalkan oleh ibu bapa dan keluarga yang dekat dan untuk perempuan-perempuan pun ada bahagian daripada apa yang ditinggalkan oleh ibu bapa dan keluarga dekat dari (peninggalan) yang sedikit ataupun banyak menurut bahagian yang sudah ditetapkan. (al-Nisaa’: 7)

KETIKA zaman jahiliah banyak berlaku penindasan dan penganiayaan. Penganiayaan ini akan berlaku ke atas kanak-kanak, wanita dan orang-orang miskin.

Sekiranya berlaku kematian pada zaman itu, harta-harta pusaka tidak akan diwariskan kepada kaum perempuan, malah anak-anak si mati pun tidak mendapat hak yang sewajarnya seperti hari ini. Mereka bukan sahaja mengasingkan hak kepada kaum wanita sahaja malah kanak-kanak lelaki pun tidak akan diberikan harta sehinggalah mereka telah dewasa.

Pada suatu hari, ada seorang daripada golongan Ansar telah meninggal dunia. Namanya Aus bin Tsabit. Dia meninggalkan dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki yang masih kecil.

Selepas berita kematiannya dihebahkan, ramailah orang datang menziarahinya. Daripada kalangan mereka itu turut hadir juga adik-beradik kepada Aus bin Tsabit iaitu bapa saudara kepada kanak-kanak tersebut.

Mereka telah mengambil kesemua harta tersebut sesuka hati. Tidak ada sedikit pun yang ditinggalkan untuk bekalan kanak-kanak terbabit.

Melihat keadaan itu, isteri Aus bin Tsabit pun pergi menemui Rasulullah. Dia pun menceritakan keadaan sebenar kepada Rasulullah SAW, baginda pun menyuruhnya menunggu dahulu kerana pada masa itu, hukum dan cara penyelesaiannya belum diperoleh lagi.

Selepas itu Rasulullah SAW pun menerangkan tentang hak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati kepada anak-anak. Setiap orang mempunyai bahagian masing-masing. Bahagian seorang anak lelaki akan menyamai dua bahagian anak perempuan.

Dengan terlaksananya hukum ini, maka tidak akan timbul penindasan dan penganiayaan terhadap sesiap pun. Agama Islam bukan sahaja merangkumi upacara ibadat semata-mata malah terangkum juga dalam tatacara kehidupan sehari-hari.

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin tidak memahami sepenuhnya kepentingan dan manfaat kewangan peribadi, melabur dengan bijak dan merancang untuk persaraan, demikian menurut satu kaji selidik CitiBank Bhd.

Kaji selidik itu, Citi Financial Quotient (FIN-Q), mendapati berdasarkan kepada keputusan keseluruhan ditunjukkan dalam 11 bidang topik kewangan utama, keputusan dari Malaysia menunjukkan purata skor Citi FIN-Q ialah 49 mata daripada 100. Selebihnya 59 peratus rakyat Malaysia yang dikaji selidik itu mencatatkan skor 49 mata dan ke bawah.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada bantuan kewangan dari sanak saudara dan anak-anak. Oleh itu, kita perlu membuat perancangan satu portfolio yang pelbagai yang bersesuaian,” kata Naib Presiden Pemasaran dan Ketua Segmen Kumpulan Pelanggan Globalnya, Timothy Johnson kepada pemberita di sini hari ini.

Kaji selidik FIN-Q itu yang terdiri daripada 400 temu ramah dalam talian mempunyai 30 soalan setiap satu di seluruh Malaysia, dilaksanakan untuk menentukan tahap pemahaman di kalangan rakyat Malaysia mengenai kewangan peribadi dan amalan kewangan mereka.

Di dalam bidang kewangan peribadi hanya 28 peratus dari responden mengawal peruntukan bajet mereka, 37 peratus berjimat manakala 46 peratus cuba berjimat dan membuat peruntukan perbelanjaan.

“Di segi tabiat melabur pengurusan wang dan kewangan peribadi, sebanyak 37 peratus mengetahui subjeknya dan 55 peratus mempunyai idea yang baik tentang apa yang akan dilakukan dengan enam bulan pendapatan mereka,” kata Johnson.

Sebaliknya, kira-kira 60 peratus tidak berasa yakin dengan penjimatan untuk persaraan mereka, dengan lebih ramai wanita melahirkan kebimbangan tentangnya.

Hanya 22 peratus dari responden mempunyai rancangan persaraan yang rasmi manakala lebih daripada seperempat tidak ada idea atau tidak memulakan lagi satu rancangan persaraan manakala 45 peratus mempercayai mereka akan menerima bantuan kewangan dari anak-anak mereka.

Sementara sebahagian besar rakyat Malaysia berpandangan mereka mempunyai pengaturan yang positif terhadap kualiti hidup mereka pada masa ini dan kewangan pada masa hadapan, tetapi secara realitinya, ramai yang tidak pasti mengenai keselamatan kewangan mereka.

“Kami melihat satu trend di seluruh dunia terutamanya dalam pasaran yang lebih maju. Masyarakat mula merancang masa depan kewangan mereka. Dan ianya akan menjadi trend di Malaysia,” katanya. – Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Pasaran tempatan masih menarik walaupun wujud aliran harga menurun pada masa ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman hari ini.

Pelabur bagaimanapun mesti menggunakan kebijaksanaan mereka dan bersedia pada setiap masa untuk menghadapi serta melalui kitaran keadaan pasaran, katanya semasa ditanya pandangannya mengenai senario semasa Bursa Malaysia.

Katanya antara sebab PNB dapat menghadapi dengan tabah keadaan pasaran semasa ialah kerana ia sudah membuat persediaan.

Antara persediaan yang dilakukan ialah “mengapa kami menstruktur semula pelaburan dan kerap melakukan penstrukturan semula,” katanya.

“Sebagai contoh, cara kami mewujudkan nilai Kumpulan Sime Darby. Ketika kami melakukannya (penggabungan) Sime Darby, Golden Hope dan Guthrie, jumlah nilai ketiga-tiga syarikat itu hanya RM24 bilion. Namun, semasa melancarkan dan menyenaraikan semula kedudukannya, nilai sudah meningkat kepada lebih RM60 bilion,” katanya,

Hamad Kama Piah bercakap kepada pemberita selepas melancarkan pejabat Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) di Tingkat 7, Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden MFPC Kee Wah Soong, Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia Ng Lian Lu, Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Kewangan Micheal Kok dan Presiden Persatuan Perunding Kewangan Bertauliah, Vincent Tan.

Hamad Kama Piah juga yakin bursa saham tempatan masih pada paras yang kukuh dengan penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) melepasi 1,100 mata.

Beberapa kaunter di Bursa Malaysia masih mengekalkan nilai yang baik dan mempunyai asas yang kukuh, katanya.

“Saya sering berkata bahawa ada peluang dalam pasran kita. Ada beberapa kaunter yang asasnya kukuh, namun nilainya mungkin kurang sedikit.”

Mungkin itulah saham yang wajar dibeli, katanya.

Terdapat juga kaunter yang nilainya tidak menentu, dan dalam kes ini, “kita mesti tunggu dan mungkin bukan masanya untuk membeli”.

Bagi PNB, ia membuat belian dan jualan terpilih bagi menyesuaikannya dengan portfolio serta memastikan ia dapat membuat keuntungan dan dalam masa yang sama mewujudkan kaunter yang mempunyai nilai jangka panjang.

Pada tengah hari, hari ini, KLCI susut 4.88 mata kepada 1,158.21 selepas dibuka 3.74 mata lebih rendah pada 1,159.35.

– BERNAMA

1. Apakah Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti dan peranannya?

MPS Suruhanjaya Sekuriti ialah jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh SC pada tahun 1996 di bawah seksyen 18, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA). MPS diberikan mandat dalam memastikan perjalanan pasaran modal Islam selaras dengan prinsip-prinsip Syariah. Bidang kuasanya ialah memberi nasihat kepada Suruhanjaya dalam semua perkara berhubung pembangunan pasaran modal Islam yang komprehensif dan bertindak sebagai pusat rujukan dalam semua isu pasaran modal Islam. Ahli MPS terdiri daripada ulama Islam dan pakar kewangan Islam.

2. Apakah sumber rujukan asas penyelidikan dalam pasaran modal Islam?

Sumber rujukan asas penyelidikan dalam pasaran modal Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

Sumber utama: al-Quran dan al-Sunnah
Sumber sokongan: Ijmak (persepakatan pendapat) , qiyas (kesimpulan secara analogi) , maslahah (kepentingan umum) dan sumber-sumber lain yang diterima oleh Syariah.

3. Apakah Senarai Sekuriti Patuh Syariah?

Senarai sekuriti patuh Syariah mengenal pasti syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang aktivitinya mematuhi kriteria Syariah yang ditetapkan oleh MPS.

4. Berapa kerapkah senarai Sekuriti patuh Syariah dikemaskinikan?

Senarai berkenaan dikemaskinikan dua kali setahun iaitu pada hari Jumaat terakhir bagi bulan Mei dan November setiap tahun.

5. Apakah kriteria umum Syariah yang digunakan dalam menilai sesuatu syarikat ?

Kriteria umum dalam menilai sekuriti patuh Syariah ialah syarikat itu tidak terlibat dalam aktiviti teras seperti yang berikut: Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);

    1. Perjudian;
    2. Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
    3. Insurans konvensional;
    4. Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah;
    5. Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
    6. Pembrokeran atau jual beli sekuriti yang tidak diluluskan Syariah; dan
    7. Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.

MPS juga mengambil kira tahap sumbangan daripada pendapatan faedah yang diperoleh syarikat hasil daripada simpanan tetap konvensional atau instrumen kewangan konvensional yang lain. Selain itu, dividen yang diterima daripada pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah juga diambil kira dalam kajian yang dijalankan oleh MPS.

Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur di antara aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu:

    1. pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik; dan
    2. aktiviti teras syarikat penting dan mempunyai maslahah (kepentingan umum) kepada umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan Syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa (perkara terlarang yang sukar dielakkan), ‘uruf (amalan kebiasaan) dan hak-hak masyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.

6. Apakah tanda aras yang digunakan bagi menentukan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti selaras dan tidak selaras dengan Syariah?

Untuk penentuan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti selaras dan tidak selaras dengan Syariah kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat, MPS telah menetapkan beberapa tanda aras tertentu mengikut ijtihad (proses mengeluarkan pendapat daripada sumber Syariah oleh ulama yang layak). Sekiranya sumbangan daripada aktiviti yang tidak selaras melebihi tanda aras yang telah ditetapkan, maka sekuriti syarikat tersebut akan diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh Syariah. Tanda aras tersebut adalah seperti yang berikut

a) Tanda aras lima peratus

Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang jelas keharamannya (tidak selaras dengan Syariah) seperti riba (syarikat berasaskan faedah seperti bank konvensional), judi, minuman keras dan daging babi.

b) Tanda aras 10 peratus

tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang melibatkan unsur “umum balwa” iaitu perkara terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk dielakkan. Contoh sumbangan tersebut ialah pendapatan faedah daripada simpanan tetap dalam bank konvensional. Tanda aras ini juga digunakan bagi aktiviti yang melibatkan tembakau.

(c) Tanda aras 20 peratus

Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan terima sewaaan daripada aktiviti tidak patuh Syariah seperti sewaan premis yang menjalankan aktiviti perjudian, jualan arak dan sebagainya.

c) Tanda aras 25 peratus

Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya selaras dengan Syariah dan mempunyai maslahah (kepentingan umum), namun terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan status Syariah aktiviti berkenaan. Antara aktiviti yang mempunyai tanda aras ini ialah aktiviti pengendalian hotel dan pusat peranginan, perniagaan saham, pembrokeran dan sebagainya kerana aktiviti tersebut berkemungkinan melibatkan aktiviti lain yang tidak selaras dengan Syariah.

7. Apakah nasihat MPS kepada pelabur yang melabur dalam sekuriti patuh Syariah, tetapi kemudiannya sekuriti tersebut bertukar statusnya kepada ‘tidak patuh’?

Sekiranya ketika pengumuman dikeluarkan, nilai sekuriti yang dipegang melebihi kos pembelian asal, pelabur yang memegang sekuriti tidak patuh Syariah hendaklah melupuskannya. Sebarang keuntungan modal yang diperoleh daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah pada masa pengumuman dibuat boleh diambil oleh pelabur. Walau bagaimanapun, sekiranya pelupusan sekuriti yang tidak patuh berkenaan dibuat selepas hari pengumuman, maka lebihan keuntungan modal daripada perbezaan harga semasa pasaran dengan harga penutup pada hari pengumuman hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan.

Sebaliknya, pelabur dibenarkan untuk memegang sekuriti tersebut sekiranya nilai sekuriti yang dipegang lebih rendah daripada kos pembelian asal. Dalam tempoh pegangan itu, pelabur juga dibenarkan untuk menerima dividen sehingga jumlah keseluruhan dividen yang diterima dan nilai pasaran sekuriti yang tidak diluluskan tersebut menyamai kos pembelian asal. Pada ketika itu, pelabur dinasihatkan untuk melupuskan sekuriti tersebut.

8. Apakah kos pembelian asal?

Kos pembelian asal merupakan kos pembelian sekuriti termasuk kos pembrokeran dan kos transaksi yang berkaitan.

9. Apakah yang perlu pelabur lakukan sekiranya mereka ditawarkan terbitan hak, terbitan bonus, terbitan istimewa atau waran oleh syarikat tidak patuh Syariah yang dipegangnya?

Pelabur dibenarkan untuk melanggan:

      1. sebarang terbitan sekuriti baru oleh syarikat yang sekuriti tidak diluluskan dipegang oleh pelabur, contohnya terbitan hak, terbitan bonus, terbitan istimewa dan waran (tidak termasuk sekuriti yang tidak patuh Syariah seperti ICULS); dan
      2. sekuriti syarikat lain yang ditawarkan oleh syarikat yang sekuriti tidak patuh Syariah dipegang oleh pelabur,

dengan syarat ia digunakan untuk mempercepatkan proses pelupusan sekuriti-sekuriti yang tidak diluluskan. Bagi sekuriti syarikat lain (seperti yang dinyatakan pada (b) di atas), sekuriti tersebut mestilah patuh Syariah.

10. Apakah yang pelabur perlu lakukan sekiranya mereka melabur dalam sekuriti yang tidak diluluskan?

MPS menasihatkan supaya pelabur melupuskan semua sekuriti yang tidak patuh Syariah dalam tempoh tidak melebihi satu bulan selepas mengetahui status sekuriti tersebut. Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh ketika atau selepas pelupusan sekuriti berkenaan hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan. Pelabur hanya berhak untuk memperoleh kembali kos pembelian asal sahaja.

11. Apakah orang bukan Islam boleh menjual dan membeli sekuriti patuh Syariah?

Pelaburan dalam sekuriti patuh Syariah tidak hanya terhad kepada pelabur Muslim sahaja kerana sekuriti patuh Syariah merupakan sebahagian daripada sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Oleh itu, orang Islam dan bukan Islam boleh melabur dalam sekuriti tersebut.

12. Apakah Indeks Syariah Kuala Lumpur (KLSI) dan apakah sekuriti yang menjadi komponen dalam indeks tersebut?

KLSI telah dilancarkan pada 17 April 1999 untuk memenuhi permintaan pelabur tempatan dan pelabur asing yang ingin melabur dalam sekuriti yang selaras dengan prinsip Syariah. Ia digunakan sebagai tanda aras bagi mengukur prestasi sekuriti patuh Syariah dan membuat keputusan yang bijak berdasarkan maklumat.

13. Selain daripada senarai sekuriti patuh Syariah, apakah instrumen lain yang diluluskan oleh MPS?

Sejak penubuhan MPS, beberapa instrumen pasaran modal telah dikaji dan diluluskan seperti yang berikut:

  1. Saham biasa
  2. Hak Langganan Boleh Pindah
  3. Waran Panggilan
  4. Saham Keutamaan Tidak Kumulatif
  5. Keutamaan Saham Boleh Tebus
  6. Kontrak Niaga Hadapan Minyak Kelapa Sawit Mentah
  7. Kontrak Niaga Hadapan Minyak Isirung Kelapa Sawit Mentah
  8. Bon tanda aras Khazanah
  9. Pensekuritian Aset Islam/Pensekuritian Hutang Islam
  10. SSF (Kontrak Niaga Hadapan Saham Tunggal (jika pendasarnya merupakan instrumen patuh Syariah))
  11. Kontrak Niaga Hadapan Indeks (jika pendasarnya merupakan instrumen patuh Syariah)

14. Adakah terdapat perkhidmatan pembrokeran Islam dalam industri?

Ya. Perkhidmatan pembrokeran Islam menyediakan medium perhubungan untuk para pelabur Muslim untuk berjual beli dan melabur dalam pasaran modal. Ia bermula dengan penubuhan BIMB Securities Sdn Bhd yang merupakan syarikat pembrokeran Islam sepenuhnya pada tahun 1994. Selain daripada syarikat broker saham ini, terdapat syarikat pembrokeran konvensional yang mula menunjukkan minat dalam perkhidmatan pembrokeran Islam.

15. Apakah skim unit amanah Islam?

Skim unit amanah Islam ialah dana pelaburan kolektif yang menawarkan kepada pelabur peluang untuk melabur dalam pelbagai portfolio sekuriti patuh Syariah serta diuruskan oleh pengurus dana profesional menurut prinsip Syariah. Skim unit amanah Islam ini perlu melantik jawatan kuasa Syariah atau penasihat Syariah seperti yang terkandung dalam perenggan 6.04 garis panduan Guidelines on Unit Trust Funds bagi memastikan pelaksanaannya berlandaskan prinsip Syariah. Skim ini terdapat dalam pelbagai bentuk seperti dana ekuiti Islam, dana sukuk, dana indeks Islam dan sebagainya.

16. Apakah syarat-syarat untuk melantik jawatan kuasa Syariah dan penasihat Syariah bagi skim unit amanah Islam ?

Jawatan kuasa Syariah dan penasihat Syariah bagi skim unit amanah Islam mesti diluluskan oleh SC dan memenuhi kriteria seperti yang terkandung dalam perenggan 6.05 garis panduan Guidelines on Unit Trust Funds .

Bagi jawatan kuasa Syariah yang dilantik, mestilah dianggotai oleh sekurang-kurangnya tiga orang individu yang bebas daripada syarikat pengurusan dan didaftarkan dengan SC. Dalam hal penasihat Syariah (syarikat) pula, syarikat tersebut mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang pegawai sepenuh masa dalam syarikat berkenaan yang ditugaskan khas untuk bertanggung jawab ke atas perkara yang berkaitan dengan Syariah bagi dana tersebut.

PUTRAJAYA 28 Julai – Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj perkhidmatan yang dikenakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas peminjamnya tidak menyalahi syarak tetapi mahu kadar tiga peratus sedia ada diturunkan bagi meringankan beban pelajar.

Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dicapai hasil muzakarah khas yang dipengerusikan beliau bersama wakil PTPTN di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN ialah empat peratus pada 1997 sebelum ia diturunkan kepada tiga peratus.

‘‘Setelah diberi penerangan mengenai upah operasi termasuk beberapa caj lain, kita bersetuju ia tidak menyalahi syarak dan tiada halangan dari sudut syariah agar ia tidak membebankan peminjam dan pemberi pinjam (PTPTN).

‘‘Jika melihat kepada prinsip, mungkin ia dapat dikurangkan sekitar satu peratus atau satu peratus setengah daripada kadar sedia ada setelah dibuat perkiraan semula termasuk mengambil kira caj upah dan operasi,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk peminjam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PTPTN kerana mengenakan caj tiga peratus daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar semula selepas pelajar menamatkan pengajian.

Berikutan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan diminta menyemak caj tiga peratus itu bagi mengelak wujudnya unsur riba seperti didakwa oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Setakat ini terdapat hampir 1.14 juta peminjam PTPTN dengan nilai pinjaman mencecah RM23 bilion.

Bagaimanapun, sebanyak 49 peratus daripada mereka masih gagal membayar balik pinjaman yang berjumlah hampir RM708 juta.

Abdul Shukor berkata, perubahan caj perkhidmatan baru yang dikenakan nanti akan ditentukan oleh PTPTN melalui Kementerian Pengajian Tinggi setelah dibuat perkiraan semula.

Wallahua’lam

Laman Berikutnya »