KUALA LUMPUR 13 Okt. – Aset kewangan Islam global kini mencecah lebih AS$1 trilion (RM3.5 trilion) dan berkembang pada kadar purata sebanyak 15 peratus ekoran sambutan menggalakkan di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Bank-bank Malaysia (IBBM), Dr. Mohd. Kamal Khir berkata, perkembangan itu bukan hanya menyokong penerimaan kewangan Islam, tetapi juga peluang perniagaan akan dapat dikembangkan melalui dana-dana Islam.

”Dengan instrumen kewangan Islam digunapakai oleh sektor kewangan utama, komuniti kewangan Islam akan menyaksikan sektor itu memainkan peranan penting dalam kewangan global pada dekad akan datang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan disini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Perakaunan dan Kewangan Universiti Monash Kampus Sunway, Prof. Bala Shanmugam berkata, pemain industri kewangan ini sedang meluaskan penawaran melalui instrumen kewangan yang terdapat dalam pasaran kewangan utama.

”Apabila langkah ini menjadi matang kita akan menyaksikan pembentukan lebih banyak instrumen jambatan yang membolehkan pergerakan modal antara pasaran kewangan utama dan pasaran kewangan Islam dalam masa terdekat.

”Pada masa ini, terdapat banyak halangan terhadap bagaimana dana ini dapat digunakan dan pasaran secara keseluruhannya kurang mempunyai instrumen yang membolehkan integrasi antara pasaran utama dan kewangan Islam,” katanya.

Tambah Shanmugam, namun halangan tersebut akan dikurangkan dengan pembentangan penyelesaian terhadap masalah tersebut di Persidangan Antarabangsa Kewangan Islam Keenam 2008 (IIFC 2008) yang sedang berlangsung pada 13 hingga 14 Oktober ini.

Katanya, persidangan tersebut adalah untuk kali keenam telah menjadi platform antarabangsa untuk berkongsi pengetahuan dalam industri kewangan Islam.

”Setiap tahun, persidangan ini menyaksikan pertambahan bilangan dan kualiti peserta dan lebih banyak negara turut menyertai persidangan ini, menunjukkan industri kewangan Islam semakin mendapat perhatian,” katanya.